"Terapi Sensori: Rahsia di Sebalik Perkembangan Anak Berkeperluan Khas?"
Hai ibu bapa prihatin di luar sana!
Pernah tak ibu bapa perhati anak anda
akan merasa terganggu dengan bunyi yang mungkin kita anggap biasa, atau mereka tak
selesa bila disentuh? Itu mungkin tanda2 anak anda memerlukan bantuan dalam
menguruskan deria mereka. Di sinilah terapi sensori boleh memainkan
peranan yang besar. Dalam artikel kali ini, kami akan berkongsikan bagaimana terapi
sensori yang menyeronokkan boleh membantu anak anda rasa lebih selesa dan
tenang, sekaligus meningkatkan perkembangan mereka. Mari kita selami dunia terapi
sensori dan lihat bagaimana ia boleh membawa perubahan besar dalam
kehidupan mereka.
Terapi sensori mungkin kedengaran rumit, tapi
sebenarnya ia adalah salah satu cara yang sangat efektif untuk membantu anak
berkeperluan khas, terutamanya yang ada masalah pemprosesan deria seperti
autisme, ADHD, atau gangguan pemprosesan sensori (SPD). Sesetengah anak2 ini tidak
dapat mentafsirkan rangsangan daripada deria mereka dengan betul, seperti bunyi
bising, cahaya terang, atau tekstur kasar boleh buat mereka rasa tak selesa
atau tertekan. Terapi sensori datang sebagai "penyelamat"
untuk bantu mereka menyesuaikan diri dengan apa yang berlaku di persekitaran
mereka!
APA SEBENARNYA TERAPI SENSORI?
Terapi sensori adalah satu kaedah yang mana
menggalakkan anak2 menggunakan alatan dan aktiviti menarik untuk membantu anak
berkeperluan khas belajar bagaimana nak "urus" input deria mereka.
Ahli terapi biasanya akan bekerja bersama anak-anak ini melalui pelbagai
permainan dan aktiviti yang dirancang khusus. Matlamatnya ialah supaya
anak-anak ini lebih menerima dengan sesuatu yang mereka rasa yang mana sebelum
ini mungkin terlalu sensitif.
Misalnya, anak yang tak menggemari
sentuhan akan diajak bermain dengan pasir, air, playdough, berus/sponge
dan pelbagai lagi. Aktiviti macam ni sebenarnya membantu mereka membina
toleransi terhadap sensasi-sensasi yang berbeza kerana anak berkeperluan khas mempunyai
kepekaan berlebihan terhadap rangsangan sentuhan. Dengan melibatkan diri dalam
aktiviti deria secara berperingkat, mereka boleh belajar untuk menyesuaikan
diri dan mengurangkan reaksi berlebihan terhadap sentuhan yang tidak biasa atau
tidak selesa.
APA KEBAIKAN TERAPI SENSORI?
Terapi sensori kini semakin mendapat perhatian di
kalangan pakar perkembangan kanak-kanak, terutamanya bagi anak berkeperluan
khas yang menghadapi cabaran dalam pemprosesan deria. Gangguan deria boleh
terjadi apabila otak menghadapi kesukaran dalam menerima dan memberikan respon
terhadap maklumat yang datang dari deria seperti penglihatan, pendengaran,
sentuhan, bau, rasa, serta pergerakan. Terapi sensori dirancang untuk
membantu kanak-kanak ini belajar mengendalikan dan memberi respons yang sesuai
terhadap rangsangan tersebut. Ia melibatkan pelbagai aktiviti yang direka untuk
merangsang deria anak-anak, membantu mereka dalam aspek perkembangan fizikal,
mental, dan emosi. Dalam artikel ini, kita akan mengupaskan beberapa kebaikan
utama terapi sensori.
1. Kemahiran Motor Yang Makin
Hebat!
Banyak aktiviti dalam terapi
sensori melibatkan penggunaan kemahiran motor halus dan kasar. Motor halus
merujuk kepada pergerakan otot kecil seperti tangan dan jari, manakala motor
kasar melibatkan pergerakan otot besar seperti lengan, kaki, dan badan.
Aktiviti seperti bermain dengan tanah liat, memegang objek bertekstur, atau
bermain bola dapat menguatkan otot tangan, lengan, dan kaki anak-anak. Ini
seterusnya membantu mereka dalam melakukan aktiviti harian seperti menulis,
mengikat tali kasut, atau memegang objek dengan lebih baik. Terapi ini juga
meningkatkan koordinasi dan keseimbangan mereka, menjadikan pergerakan harian
lebih mudah dan kurang cabaran.
2. Meningkatkan Pemprosesan
Deria Dan Pemahaman Persekitaran
Terapi sensori memberi pendedahan secara terkawal
kepada pelbagai rangsangan deria yang anak mungkin alami dalam kehidupan
seharian. Ini membantu mereka belajar untuk memproses maklumat tersebut dengan
cara yang lebih efektif dan teratur. Anak-anak yang menghadapi masalah deria
biasanya mengalami kesulitan untuk memahami persekitaran mereka dengan betul,
menyebabkan kebingungan atau kekeliruan dalam situasi sosial dan persekitaran
baru. Dengan terapi ini, mereka secara perlahan-lahan akan belajar untuk memahami
dan bertindak balas terhadap rangsangan deria dengan lebih baik. Contohnya, anak
yang sensitif terhadap bunyi mungkin akan belajar untuk mengabaikan bunyi yang
tidak penting, seperti bunyi kipas atau kerusi yang diseret, dan memberi
perhatian kepada suara orang yang bercakap dengan mereka.
3. Meningkatkan Kemahiran Sosial Dan
Interaksi
Salah satu kesan positif yang ketara
daripada terapi sensori adalah peningkatan dalam kemahiran sosial anak.
Anak berkeperluan khas yang mengalami masalah dalam pemprosesan deria mungkin
menghadapi kesukaran dalam memahami atau berinteraksi dengan orang lain,
terutamanya apabila rangsangan deria yang kuat menyebabkan mereka merasa cemas
atau tidak selesa. Dengan terapi ini, mereka dapat belajar untuk menyesuaikan
diri dengan persekitaran sosial yang pelbagai, membina keupayaan untuk
bertoleransi terhadap sentuhan atau bunyi, dan seterusnya menjadi lebih selesa
bergaul dengan rakan sebaya. Terapi sensori yang melibatkan permainan
berkumpulan juga memberi peluang kepada mereka untuk belajar bekerjasama,
berkongsi, dan berkomunikasi dengan orang lain dalam suasana yang selamat dan
terancang.
4. Mengurangkan Kepekaan Berlebihan
(Sensory Overload)
Anak berkeperluan khas yang mengalami
kepekaan berlebihan terhadap rangsangan deria seperti bunyi yang kuat, cahaya
terang, atau tekstur tertentu boleh merasa terganggu atau cemas apabila
berhadapan dengan persekitaran yang terlalu merangsang. Keadaan ini dikenali
sebagai "sensory overload," di mana otak mereka tidak dapat menangani
jumlah maklumat deria yang diterima dengan baik. Melalui terapi sensori,
anak-anak ini akan secara perlahan diperkenalkan kepada rangsangan yang
menyebabkan ketidakselesaan dalam persekitaran yang terkawal. Ini membantu
mereka menyesuaikan diri dan membina toleransi terhadap rangsangan tersebut.
Sebagai contoh, terapi mungkin melibatkan pendedahan beransur-ansur terhadap
bunyi yang mereka takuti, dengan tujuan untuk mengurangkan reaksi negatif
mereka terhadap bunyi tersebut dalam jangka masa panjang.
5. Membantu Anak Menenangkan Diri Dan
Mengawal Emosi
Terapi sensori juga bertujuan untuk membantu anak
belajar cara untuk menenangkan diri apabila mereka merasa cemas, marah, atau
gelisah. Anak-anak yang menghadapi masalah dengan pemprosesan deria sering kali
sukar mengawal emosi mereka apabila berhadapan dengan rangsangan yang tidak
selesa. Sebagai tamsil, mereka mungkin bertindak agresif apabila terdedah kepada
bunyi yang kuat atau sentuhan yang tidak mereka gemari. Dengan bantuan ahli
terapi, anak-anak ini diajar teknik untuk menenangkan diri, seperti menggunakan
objek yang menenangkan deria, seperti selimut berat (weighted blanket) atau
bermain dengan alat deria seperti bola tekanan. Teknik ini membantu mereka
mengawal emosi mereka dalam situasi yang mencabar, sekaligus meningkatkan
keupayaan mereka untuk berinteraksi dengan lebih baik dalam persekitaran
sosial.
6. Meningkatkan Tumpuan Dan Fokus
Anak-anak berkeperluan khas yang
mengalami gangguan pemprosesan deria sering kali sukar menumpukan perhatian
dalam jangka masa yang lama, terutamanya di sekolah atau semasa terapi. Terapi
sensori dapat membantu mereka membina kemampuan untuk fokus dan menumpukan
perhatian dengan lebih baik. Aktiviti deria seperti menyentuh pelbagai tekstur,
bermain dengan objek berwarna terang, atau mendengar bunyi yang menenangkan
boleh membantu merangsang otak dan meningkatkan keupayaan mereka untuk fokus.
Apabila anak-anak ini belajar untuk mengawal deria mereka dengan lebih baik,
mereka akan dapat memberi tumpuan yang lebih baik kepada tugasan atau aktiviti
yang memerlukan perhatian yang berterusan.
7. Meningkatkan Keyakinan Diri Dan
Autonomi
Satu lagi manfaat penting terapi
sensori adalah peningkatan dalam keyakinan diri dan autonomi anak. Apabila
anak-anak berkeperluan khas dapat mengatasi cabaran deria mereka dan
berinteraksi dengan persekitaran mereka dengan lebih baik, mereka akan merasa
lebih yakin untuk mengambil bahagian dalam aktiviti harian. Sebagai contoh,
seorang anak yang sebelum ini takut untuk menyentuh bahan-bahan bertekstur
kasar mungkin akan lebih berani mencuba aktiviti baru setelah menjalani terapi
sensori. Keyakinan ini memberi mereka perasaan kawalan ke atas kehidupan
mereka, sekaligus membina rasa autonomi yang penting dalam perkembangan
psikologi dan sosial mereka.
8. Membantu Dalam Pembelajaran Dan
Pendidikan
Pemprosesan deria yang terganggu
boleh memberi kesan besar kepada pembelajaran anak, terutamanya di sekolah.
Contohnya, anak yang sensitif terhadap bunyi mungkin sukar menumpukan perhatian
di dalam bilik darjah yang bising, manakala anak yang mempunyai masalah dengan
pemprosesan visual mungkin sukar memahami pelajaran yang melibatkan
visualisasi. Terapi sensori membantu anak-anak ini belajar untuk
menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran dan meningkatkan keupayaan
mereka untuk menyerap maklumat dengan lebih baik. Apabila mereka dapat
mengatasi rangsangan deria yang mengganggu, mereka akan lebih mampu memberi
tumpuan kepada pembelajaran akademik dan mencapai potensi penuh mereka di
sekolah.
ALAT-ALAT MENARIK DALAM TERAPI
SENSORI
Ada banyak alat-alat yang digunakan
dalam terapi sensori yang bukan sahaja membantu anak-anak, tapi juga
buat mereka seronok! Antaranya:
1. Bola Sensori (Sensory Balls)
Bola sensori mempunyai pelbagai saiz
dan tekstur yang berbeza, seperti yang lembut, bergetah, berbulu, atau beralun.
Anak-anak boleh meramas, memegang, atau menggolekkan bola sensori ini untuk
merangsang deria sentuhan mereka. Bola ini juga digunakan untuk meningkatkan
kemahiran motor halus dan kasar serta menguatkan otot-otot tangan. Bola sensori
sangat sesuai untuk anak-anak yang mempunyai kepekaan terhadap sentuhan kerana
ia memberikan pengalaman yang menarik dan menyeronokkan, tetapi pada masa yang sama
memperkenalkan tekstur yang berbeza dalam cara yang tidak mengancam.
2. Mainan Playdough atau Tanah Liat (Theraputty)
Playdough atau tanah liat adalah alat
yang sering digunakan dalam terapi sensori kerana ia fleksibel, mudah
dimanipulasi, dan menyeronokkan. Anak-anak boleh memicit, membentuk, atau
menghancurkan playdough untuk menguatkan otot tangan dan mengembangkan
kemahiran motor halus. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan koordinasi
mata-tangan tetapi juga memberi peluang kepada anak untuk merasa pelbagai
tekstur, sekali gus membantu mereka menjadi lebih selesa dengan sentuhan.
Tikar deria merupakan permukaan dengan pelbagai tekstur yang direka untuk dirasakan dengan tangan atau kaki. Tikar ini boleh membantu anak belajar tentang pelbagai sensasi deria melalui sentuhan, seperti tikar yang berbulu, licin, atau kasar. Apabila anak berjalan atau duduk di atas tikar ini, mereka merasakan pengalaman sentuhan yang berbeza, yang membantu meningkatkan kesedaran badan dan koordinasi. Tikar deria ini juga membantu meningkatkan keseimbangan dan memberi rangsangan kepada otot-otot kaki.
4. Selimut Berat (Weight Blanket)
Selimut berat adalah alat yang sangat
berguna dalam terapi sensori, terutamanya untuk anak yang memerlukan
terapi tekanan dalam (deep pressure therapy). Selimut ini memberikan sensasi
menenangkan melalui tekanan yang dalam pada badan anak, membantu mereka merasa
lebih tenang dan selesa. Anak-anak yang mengalami masalah seperti keresahan,
gangguan tidur, atau gangguan pemprosesan deria sering kali mendapat manfaat
daripada penggunaan selimut berat ini. Selimut ini juga membantu dalam
meningkatkan tumpuan dan kawalan emosi, terutama bagi mereka yang cenderung
merasa gelisah atau terlalu terangsang oleh rangsangan luar.
5. Bunyi Deria (Sensory Sound Toys)
Bunyi deria melibatkan alat yang menghasilkan bunyi-bunyi menenangkan atau merangsang, seperti loceng, instrumen muzik kecil, atau mainan yang mengeluarkan bunyi air. Alat-alat ini digunakan untuk membantu anak-anak yang mempunyai masalah dengan pemprosesan pendengaran atau kepekaan terhadap bunyi. Dengan mendengar bunyi-bunyi tertentu secara berkala, anak-anak boleh belajar untuk lebih toleran terhadap bunyi persekitaran dan belajar menapis bunyi yang tidak relevan. Ini membantu mereka untuk lebih fokus dan mengurangkan keresahan yang disebabkan oleh bunyi yang tidak menyenangkan.
6. Mainan Tekanan (Stress Toys)
Mainan tekanan seperti bola tekanan
atau alat untuk meramas digunakan untuk memberi rangsangan deria melalui
sentuhan dan tekanan. Alat-alat ini membolehkan anak-anak meredakan tekanan
atau keresahan dengan memicit atau meremas, sekali gus membantu mereka mengawal
emosi dan tumpuan. Mainan tekanan sangat berguna dalam situasi di mana anak
mungkin merasa cemas atau tertekan, kerana ia memberikan kelegaan fizikal dan
membantu mereka menenangkan diri dengan cepat.
7. Ayunan Sensori (Sensory Swings)
Ayunan sensori direka untuk
memberikan pengalaman pergerakan yang menyeronokkan dan menenangkan. Ayunan ini
boleh digunakan untuk anak-anak yang mempunyai masalah dengan keseimbangan atau
propriosepsi (kesedaran badan terhadap ruang dan pergerakan). Dengan berayun,
anak akan belajar untuk mengawal pergerakan badan mereka, meningkatkan
keseimbangan, dan menjadi lebih peka terhadap kedudukan badan mereka dalam
ruang. Ayunan sensori juga membantu dalam mengurangkan keresahan dan
meningkatkan kemampuan anak untuk fokus.
8. Berus Deria (Wilbarger Brush)
Berus deria digunakan untuk memberikan rangsangan sentuhan yang dalam pada kulit. Alat ini sering digunakan dalam teknik "brushing therapy," di mana ahli terapi atau ibu bapa akan menggunakan berus lembut untuk menyapu kulit anak dengan lembut, membantu mereka merasa lebih selesa dengan sentuhan fizikal. Teknik ini sangat membantu untuk anak yang sensitif terhadap sentuhan atau yang memerlukan lebih banyak rangsangan deria untuk menenangkan diri.
KESIMPULAN
Terapi sensori bukan saja membantu anak berkeperluan khas
yang ada masalah deria untuk menyesuaikan diri dengan dunia sekeliling mereka,
tapi juga membantu mereka untuk berkembang dengan lebih baik dari segi fizikal,
emosi, dan sosial. Dengan sokongan ahli terapi dan alat-alat yang
menyeronokkan, anak-anak ini boleh belajar untuk lebih menguruskan sensasi yang
mereka alami, sekaligus menjalani kehidupan yang lebih tenang dan gembira.
Terapi ni bukanlah magis, tapi dengan
sedikit kesabaran dan banyak keseronokan, anak berkeperluan khas pasti boleh mencapai
potensi mereka yang terbaik!